Dia lah yang telah mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan din yang benar, untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. At-Taubah : 33
Kebangkitan Melayu Islam di Nusantara atau singkatannya K.M.I.N adalah hasil cetusan idea daripada pemikiran beberapa orang tokoh akademik dan masyarakat yang merasa peduli tentang nasib yang menimpa dunia dan masyarakat amnya. Pelbagai isu sedang melanda dunia ketika ini seperti perang antara Blok Barat dan Blok Timur, krisis ekonomi yang semakin kritikal, penularan wabak penyakit berjangkit, perubahan iklim dunia yang serius, isu keterjaminan makanan, kerosakan sistem politik, salah guna kuasa dan rasuah yang berleluasa serta ketegangan kaum. Segala permasalahan tersebut adalah satu petunjuk kepada manusia yang berakal bahawa kita sedang berada di ambang kemusnahan dan kegelapan.
Kesedaran tentang perlunya sebuah kebangkitan peradaban yang baharu adalah bertitik-tolak daripada kefahaman mengenai sejarah. Kita sendiri dapat melihat dan merasai betapa rendahnya kedudukan Islam pada hari ini jika dibandingkan dengan zaman kemuncak kegemilangannya dahulu seperti pada zaman kekhalifahan Abbasiyah yang dikenali sebagai “Zaman Keemasan Islam” sehingga menjadi sumber rujukan seluruh pelosok dunia.
Maka atas kesedaran dan rasa tanggungjawab inilah pihak penganjur mengambil inisiatif untuk mengadakan satu persidangan khusus yang mengumpulkan pakar-pakar daripada pelbagai kelompok seperti ahli akademik, generasi muda, graduan universiti, tokoh-tokoh masyarakat, ahli ekonomi, pengamal undang-undang, pemimpin NGO dan aktivis sosial bagi membincangkan topik-topik yang berkaitan dengan Kebangkitan Peradaban Melayu Islam di Nusantara.